Sunday, March 15, 2009



Ustaz Hashim Abdul Ghani

Pendahuluan

Saya percaya ramai pengunjung blog ini akan mendapat maklumat sedikit sebanyak sejarah hidup alim ulama kita khususnya di negeri ini. Saya juga tidak menafikan ada yang tidak bersetuju apabila saya turut menyisipkan tokoh-tokoh kaum muda yang agak sensitif bagi kaum tua ( bermazhab). Mereka ( kaum tua) mendakwa kaum muda membuat aturan agama yang baru yang menyalahi apa yang diamalkan oleh nenek-moyang terdahulu. Paling tragis bila dilebelkan “sesat”, sedangkan bagi pihak kaum muda pula mereka mengamalkan sebenarnya dan bukan bukan mencipta yang baru sebaliknya hendak memulihkan yang lama yang telah dilupakan. (Rujuk http://www.lib.usm.my/ : Gerakan Pembaharuan Islam)

Jesteru itu dalam konteks di negeri ini pula, saya tertarik untuk menonjolkan seorang lagi tokoh kaum muda berasal dari Kuala Pilah yang dianggap sering mencetuskan ‘polemik berkala’ dengan pihak agama negeri dan golongan assyafieah. Tokoh kaum muda itu ialah Allahyarham Ustaz Hashim Abdul Ghani iaitu generasi kedua dari Madrasah Aliah Islamiah, Pelangai Kuala Pilah yang ditubuhkan oleh Almarhum Maulana Lebai Maadah Layang. Ustaz Hashim cukup terkenal lantaran tulisan-tulisan beliau dalam media cetak berhubung dengan percanggahan pendapat dengan kaum tua. Saya sendiri tertarik mengikuti perbahasan beliau sejak perdebatan sengit antara beliau dengan Nahmar Jamil seorang penulis dari Negeri Perlis yang disiarkan di akhbar tempatan.

Riwayat Hidup

Allahyarham Ustaz Hashim Abdul Ghani dilahirkan pada 5 Julai 1927 di Kampong Sungai Dua Kecil, Kuala Pilah. Bapanya Imam Abdul Ghani Salam seorang imam masjid dan ibunya bernama Aisyah Abdul Wahid. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Pilah tahun 1937 dan kemudiannya menyambung pelajaran di Madrasah Aliah Islamiah, Pelangai. Pejuang kalangan kaum wanita menentang penjajah iaitu Shamsiah Fakeh adalah rakan seperguruan dari madrasah Lebai Maadah ini. Masa pendudukan Jepun, beliau membantu bapanya berniaga dan mempelajari Bahasa Jepun. Selepas perang tamat, Ustaz Hashim melanjutkan pengajian agama di Madrasah Al Akhlaq Islamiah Bagan Serai dan seterusnya di Madrasah Al Mashoor Pulau Pinang di bawah bimbingan Abu bakar Assyaari. Pengajiannya di bawah biasiswa Yang Dipertuan Besar. Beliau menamatkan pengajian pada akhir tahun 1953 dengan pangkat pertama.

Menubuhkan Madrasah

Sekembalinya ke kampung, Ustaz Hashim memulakan kegiatan mengajar agama di beberapa buah madrasah sekitar Kuala Pilah. Kemudian bersama-sama rakan seperjuangan, beliau mengasaskan Madrasah Ittibaa’ As Sunnah (MIS) di Kampung Parit iaitu kira-kira sebatu dari Pekan Kuala Pilah. Pusat pengajian ini juga lebih dikenali surau tengah sawah yang pada asalnya terbina di tengah sawah tepi jalan utama Kuala Pilah- Seremban waktu itu. Madrasah ini dikatakan pernah menerima murid-murid dari serata negeri termasuk dari Singapura.

Teks pelajaran yang diajar seperti pengajian al Quran, kitab hadis Bukhari-Muslim, kitab al Umm karya Imam Syafie, al Muwata’ Imam Malik, Bulughul Maram, Tauhid Ibnu Taimiyah, dan Muhamad Abdul Wahab, Fiqh Sunnah oleh Sayid Sabiq dan lain-lain lagi. Bahasa pengantar dan teks tersebut dalam Bahasa Arab yang mampu melahirkan kader-kader dakwah yang berilmu. Memandangkan pengajian mendasari fahaman yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab, maka MIS menerima berbagai jolokan sperti kaum muda, Wahabi, Khawarij, sesat dan sebagainya. Yang jelasnya, mereka cukup menentang amalan-amalan baru dalam ibadah yang tidak mempunyai sandaran dengan al Quran dan sunnah Nabi Saw. Mereka menyeru masyarakat menjauhi tradisi taklid buta dalam ibadah.

Selama penubuhannya, MIAS menghadapi banyak halangan dari berbagai pihak. Pihak berkuasa negeri yang rata-rata ditunjangi oleh kaum tua pasti melihat pergerakan ini suatu ancaman dalam kerharmonian masyarakat bermazhab. Mereka terlalu keras dan tiada kompromi dalam menyanggah perkara bidaah yang diada-adakan itu. Bagi mereka tiada erti taklid sebaliknya mereka menganjurkan ‘ittabaa’ keduanya mempunyai pengertian hamper sama kecuali amalan sahaja berbeza.

Taklid bererti meminta fatwa seseorang yang alim dalam urusan agama apabila tiada dalil atau sandaran dari Quran, hadis, ijmak dan qias. Manakala ittibaa’ pula bermaksud menerima hukum dan fatwa dari seseorang yang menunjukkan dalil dari Quran, hadis, ijmak dan qias. Inilah perbezaan dalam permasalahan tersebut. Pelajar-pelajar akan belajar al Quran secara harfiah bersekali dengan ilmu nahu dan saraf sebagai ilmu alat. Kebiasaan pengajian pondok mempelajari Bahasa Arab terlebih dahulu untuk belajar pengajian al Quran. Di MIS, mereka mengutamakan belajar Quran kerana di situ terletaknya hidayah dan ternyata mereka mampu membaca kitab-kitab besar dalam masa yang singkat.

Amalan Kaum Muda

Mungkin pembaca yang masih kabur dengan kaum muda ini tertanya-tanya, apakah amalan mereka yang berbeza dengan kaum tua atau bermazhab itu? Berikut beberapa dasar amalan mereka untuk perhatian dan perbandingan iaitu,

a. Ibadat Solat

1. Mereka melakukan ibadah mengikut aturan Quran dan hadis shahih sahaja.
2. Mereka berwudhu dengan menyapu seluruh kepala.
3. Tidak ada tarhiem sebelum azan.
4. Tidak melafazkan ‘USYALLI’ dalam solat.
5. Membaca surah Fatehah ayat demi ayat dan bukan wasal.
6. Tidak membaca qunut dalam solat subuh kecuali bila berlaku malapetaka besar seperti
membaca qunut nazilah tiap-tiap solat 5 waktu selama sebulan.
7. Tidak mengusap muka selepas solat.
8. Tidak menguatkan suara untuk berzikir dan berdoa selepas solat. ( buat masing-masing)
9. Tiada ‘fidyah’ solat.

b. Solat Jumaat

1. Tidak ada azan dua kali.
2. Tiada solat ‘qabliyah jumaat’
3. Tiada ucapan khas untuk khatib naik atas mimbar.
4. Khutbah tidak pakai tongkat
5. Khutbah ialah berucap dan bukan membaca kitab
6. Tiada tambahan kata ‘syaidina’
7. Tidak melaungkan salawat di antara 2 khutbah.

c. Hal Kematian

1. Tidak membaca al quran dekat mayat
2. Tidak ada jamuan makan-minum di rumah orang kematian. Sebaliknya jiran-jiran
menghantar makanan kepada keluarga simati.
3. Tiada kenduri atau bertahlil pada hari-hari tertentu selepas kematian.
4. Tiada bacaan Yasin, kumpulan Tahlil beramai-ramai untuk dikirimkan pahala kepada
simati.
5. Tidak memayungi keranda ketika pengkebumian.
6. Tiada bacaan talkin untuk simati.
7. Tiada amalan membakar kemenyan.

d. Lain-lain.

1. Tidak mengikut mana-mana kumpulan tarekat.
2. Tidak pergi bernazar di mana-mana kubur dan seumpamanya
3. Tidak mempercayai kuasa-kuasa ghaib, bomoh dan lain-lain.
4. Tidak menyambut majlis atau upacara hari-hari sejarah seperti bulan safar, Mal Hijrah,
Maulud Nabi dan lain-lain.

Kerjaya Diri

Ustaz Hashim pernah mengusahakan penubuhan Persatuan Muhamaddiah Malaysia dalam tahun 1962 seperti Muhamaddiah di Indonesia. Satu kongres telah dibuat di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, di mana beliau dilantik sebagai setiausaha persatuan. Malangnya, penubuhan itu tidak diluluskan ekoran dari tercetusnya konfrontasi antara Malaysia dengan Indonesia. Beliau juga pernah menganggotai Persatuan Ulama Pulau Pinang, dilantik sebagai ketua Persatuan Peniaga Kecil Kuala Pilah, Penyelia Kemajuan Masyarakat bagi daerah Kuala Pilah mulai tahun 1961. Ustaz Hashim juga aktif dalam politik dan memegang beberapa jawatan penting. Perkhidmatan beliau itu telah diiktiraf oleh kerajaan sehingga diperkenan oleh Yang Dipertuan Besar untuk anugerah Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada Julai 1971.

Minat beliau dalam penulisan sangat tinggi, beliau pernah menjadi wartawan akhbar Majlis, Berita Harian dan Utusan. Mengarang buku-buku agama dan menggunakan ketajaman penanya untuk membalas kritikan pihak lain tentang kefahaman kaum muda. Perdebatan sengit beliau dengan penulis Nahmar Jamil dari Perlis adalah berhubung dengan masalah bermazhab. Antara buku-buku terbitan beliau mengenai kritikan itu ialah Gayung Bersambut, Haram dan Sesat Bermazhab. Beliau juga menubuhkan institusi bernama Kursus Tertulis Al Furqan ( KTF) gaya pos dan keset iaitu pengajian al Quran secara harfiah. Dikatakan ratusan pelajarnya mengikut kursus ini. Ramai tokoh ternama bertemu Ustaz Hashim antaranya ialah Dr Hamka.

Buku-buku yang dihasilkan beliau ialah Intisari Tauhid, Bahaya Turun Dari Menara, Haji Qiran, Kata Berbalas, Wajibkah Muslim Bermazhab (terjemahan), Gayung Bersambut 1 & 2, Panduan Haji, Aurad Muhamadiah Menyeleweng, Urusan jenazah, Kenapa Mesti Menurut As Sunnah dan banyak lagi kitab-kitab serta menterjemah kitab-kitab luar.

Buku-buku beliau yang diharamkan ialah Gayung Bersambut 2 oleh Jabatan Perdana Menteri pada 10 Mac 1988. Risalah-risalah terbitan MIS seperti ‘Risalah As Sunnah’ dalam tahun 1980an turut rampas dan beliau sendiri dijatuhi hukuman denda oleh Mahkamah rendah Kuala Pilah atas alasan menerbitkan risalah tanpa kebenaran. Beliau mendakwa risalah-risalah itu bukan untuk bacaan umum tetapi untuk edaran pelajar-pelajar MIS dan masyarakat As Sunnah sahaja.

Buku Haji Qiran misalnya, diterbitkan bila Ustaz Hashim membantah pendapat Majlis Agama Islam Perlis yang menghukum jemaah haji seramai 54 orang yang melakukan tawaf ifadah sebelum wukuf di Arafah tidak sempurna hajinya. Beliau membantah dengan menulis buku setebal 112 halaman. Beliau memberi kesimpulan ‘mereka yang berniat mengerjakan haji qiran atau mengubahnya untuk menggabungkan umrah dan haji, adalah tertunai tawaf ifadahnya dengan tawaf yang satu dan saie yang satu pada kala tawaf awal (qudum)’.
Deklarasi

Bagi menangani dari gangguan kaum tua, pada 26 Disember 1982 pendukung as sunnah seluruh Malaysia telah berhimpun di Kuala Pilah bertempat di MIS untuk membuat deklarasi agong iaitu:

Suatu golongan umat muslimin yang terdiri daripada mereka yang menganut pegangan agama Islam yang berdasarkan Kitab al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. yang sahih, ijmak para sahabat, dan qiyas dalam jurusan keduniaan. Keluarga al-Sunnah itu terdiri daripada golongan muslimin yang sejak dahulu dikenali sebagai: Kaum Muda, Kaum Wahabi, Kaum Salafiyin, Ansarus-Sunnah, Ittibaus-Sunnah, Muhammadiah, al-Islah, Syah Waliyullah al-Dahlawi, al-Maududi, dan sebagainya. Mereka ialah golongan yang tidak bertaklid kepada sesuatu mazhab, tetapi boleh melakukan ittiba', iaitu menerima dan mengikut sesuatu pendapat yang muktabar setelah diketahui keterangannya dengan jelas dari Kitab al-Quran dan al-Hadis. Mereka tidak tersekat untuk melakukan ijtihad jika mempunyai syarat dan kemampuan.

Di penghujung usianya, Ustaz Hashim sempat menimba ilmu dalam bidang perubatan daripada The Homeopathy Of British dalam tahun 1994 peringkat Diploma dan beberapa sijil kursus perubatan herbalogy di Kuala Lumpur. Beliau dikatakan mengaku ‘tidak segarang dahulu’ setelah usia meningkat tetapi beliau pantang dicabar bila fahaman as sunnah golongannya disanggah. Pada 27 November 2004 selepas menunaikan solat subuh jam 6.30 pagi, Ustaz Hashim telah menghembuskan nafas terakhirnya dengan tenang dalam usia 77 tahun. Pemergiannya sudah tentu suatu kehilangan besar jamaah as sunnah dan semoga perjuangan beliau diberkati Allah jua hendaknya.

Monday, February 27, 2006